Sunday, March 10, 2013

Panduan Menyemai Keratan Anggur

Lama juga saya tak up load maklumat di blog ni. Kali ni saya nak berkongsi cerita macamana saya menyemai anggur dari keratan ranting. Sekarang ni pokok anggur dah banyak didapati dimana-mana di Malaysia. Ada kalanya kita diberikan keratan ranting anggur untuk dibawa balik untuk disemai ataupun kekadang kita membeli keratan anggur melalui pos. Mungkin maklumat yang saya kongsikan dibawah ini dapat membantu menghidupkan pokok anggur melalui keratan. Cara ini adalah sesuai untuk menyemai keratan ranting anggur dalam kuantiti yang kecil, kalau nak semai banyak-banyak hingga beribu (nak buat nurseri anggur), itu kena buat cara lain...

Mula-mula sekali kita kenalah ada keratan pokok anggur. Kalau diambil sendiri dari pokok anggur, saya selalu ambil ranting yang bersaiz sebesar batang pensel dengan panjang minimum tiga mata tunas. Untuk membezakan hujung pangkalnya, saya akan membuat keratan rata pada pangkal dan runcing pada hujung ranting seperti dibawah:


A. Lepas tu bila dah ada keratan, bolehlah mula untuk menyemai keratan ranting anggur anda.

1
Sediakan Pasir Sungai – 1 (satu)  bahagian
 
2
Sediakan Fiber Sabut kelapa –  2 (dua) bahagian.

3
Gaulkan dan masukkan dalam pasu kecil atau polibeg. Semaian dalam pasu dapat menghasilkan kadar pertumbuhan yang lebih baik.
4
Cucukkan keratan anggur ke dalam pasu kira-kira 2-3 inci bergantung kepada panjangnya keratan. Pastikan keratan tidak ditanam terbalik kerana kalau ditanam terbalik, akar pokok tidak tumbuh. Jika ada penggalak agar, sapukan pada bahagian bawah keratan sebelum dicucuk ke dalam pasu.
  
5
Padatkan tanah disekeliling keratan untuk memastikan ia sentiasa tegak dan tidak bergoyang

B. Penjagaan Semaian Keratan Anggur

1.  Letakkan keratan anggur yang telah dipasu di kawasan yang teduh (tidak terdedah kepada hujan) tetapi mendapat cahaya matahari.

2.  Siram dengan air pagi dan petang. Pastikan media tanaman tidak kering dan tidak terlalu lembab hingga menakung air. Kalau air bertakung, keratan akan mati.

3.  Elakkan dari keratan anggur bergoyang atau terlanggar lebih-lebih lagi pada dua minggu pertama setelah disemai kerana dalam tempoh itu, keratan anggur mula untuk tumbuh akar dan akar yang tumbuh adalah terlalu sensitif jika diganggu.

4.  Tunas baru akan mula keluar dari keratan selepas seminggu disemai dan akar akan mula keluar selepas dua minggu.

5. Elakkan membaja pada peringkat permulaan, pembajaan boleh dibuat selepas sebulan. Digalakkan penggunaan baja organik bagi mengelakkan pokok mengalami kerosakkan akibat terlebih pembajaan kimia.
6. Saya biasanya akan membiarkan benih anggur tumbuh lebih dua bulan sebelum dialih kepasu yang lebih besar atau di tanam di atas tanah.
7. Kalau ditempat anda tidak terdapat atau susah nak dapat fiber kelapa, bolehlah digunakan media-media tanaman yang dijual dikedai-kedai atau dipasaraya. Kalau membeli media tanaman, pilihlah media tanaman untuk semaian.
Ok, selamat menyemai keratan ranting anggur anda...